Thursday, September 29, 2011

Selamat datang ke UPSI!

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera

Pelajar baru datang lagi ke UPSI, gedung ilmu pendidikan yang terulung di Malaysia. Tempat lahirnya negarawan serta tokoh-tokoh pendidikan seperti Ibrahim Yaakob, Ghaffar Baba, Buyong Adil, Zaaba dan ramai lagi. Untuk pelajar-pelajar yang baru mendaftar termasuklah guru-guru dari program PJJ, anda mempunyai sebab yang sangat banyak untuk merasa bangga, digelar warga UPSI. Kadangkala kita merasa seperti mudah ke universiti, disebabkan kita telah layak. Tetapi cuba kita selami mereka yang tidak layak, dan kita akan sedar diri kita adalah sebilangan kecil sahaja insan terpilih untuk melanjutkan pengajian ke menara gading. Sedangkan yang lain mungkin terpaksa melalui jalan yang lebih panjang dan berliku untuk menjadi manusia yang berpendidikan.

Buat pelajar PJJ, tugasan besar bakal menanti anda kerana pembelajaran secara online dan jarak jauh hakikatnya lebih mencabar. Untuk menyamakan kualiti pengajaran dan pembelajaran (P & P) setara dengan pelajar sepenuh masa, anda perlu diberikan banyak latihan, ujian serta forum untuk diberi maklumbalas. Kesemua ini perlu dilakukan melalui MyGuru2. Di saat pelajar UPSI boleh berjumpa secara terus dengan pensyarah dan menghadiri kuliah, anda perlu berkomunikasi melalui forum, e-mel atau telefon.

Tetapi jangan risau, anda tidak berseorangan kerana bersama adalah 7000 guru-guru yang mengambil program yang sama. Belajar dan teruskanlah pengajian dengan sabar dan cekal, kerana harga sebuah Sarjana Muda bukanlah murah. Ia memerlukan pengorbanan samada dari segi tenaga, masa, wang ringgit dan masa bersama keluarga. Apapun jangan menyerah, kerana kualiti inilah yang paling kita perlukan dalam mendidik anak bangsa.

SELAMAT BELAJAR!

No comments:

Post a Comment