Wednesday, July 27, 2011

Kumpulan anda adalah .....

Assalamualaikum dan Salam sejahtera

Semoga sihat hendaknya.

Baru-baru ini pensyarah PJJ dalam proses memberikan markah kepada pelajar PJJ yang terus tekun mengikuti kuliah dan perkembangan kursus mereka walaupun secara jarak jauh. Insya Allah kami harap segala kelemahan dan kekurangan pihak UPSI dalam menyelaras program ini dapat diatasi sepenuhnya pada semester akan datang.

Di tengah-tengah proses pemberian markah tersebut, saya didatangi lebih kurang 5 emel dari 5 orang pelajar yang menyatakan mereka berada di kumpulan lain tetapi didaftarkan di kumpulan lain. Contohnya pelajar dari Kedah ini menyatakan dia pada asalnya kumpulan A04, kemudian bertukar K01, tetapi sekarang kembali ke A04.

Apabila ditanya adakah beliau memaklumkan kepada PPL atau Akademik mengenai pertukaran tersebut, pelajar tersebut menyatakan "Tidak". Saya tanya kembali, apa yang menyebabkan kamu menyatakan telah berubah kumpulan. Pelajar tersebut menjawab "Saya telah beritahu pensyarah dan tukar sendiri dalam MyGuru2."

Menepuk dahi saya sebentar.

Sebenarnya ciri yang terdapat dalam MyGuru2 iaitu Group Tools tidak boleh digunakan oleh pelajar untuk menukar kumpulan secara manual. Ciri tersebut ada dalam MyGuru2 hanya untuk kegunaan pelajar lain secara terbuka boleh menukar kumpulan, dan UPSI tidak membolehkan semua ini disebabkan proses penetapan dan penukaran kumpulan hanya ditentukan oleh PPL, fakulti dan Bahagian Akademik.

Menyedari ada sebilangan pelajar yang telah berbuat demikian (menukar kumpulan dalam MyGuru2), saya telah men'disable' group tool tersebut. Selepas itulah saya menerima beberapa panggilan pelajar yang merayu untuk saya memindahkan forum dan assignment mereka kepada kumpulan yang asal. Saya terima dan memaklumkan kepada pensyarah yang berkenaan. Tetapi agak masalah lah sedikit lantaran assignment dan forum antara 2 pensyarah tidak semestinya sama.

Untuk semua pelajar terutamanya PJJ, anda boleh menukar kumpulan, bukan tidak boleh. Saya faham ada pelajar yang 'ter'masuk ke kumpulan pelajar Sarawak sedangkan dia berasal dari Kedah dan sebagainya. Syaratnya sila mohon terlebih dahulu dengan PPL atau Bahagian Akademik, dan mereka akan menguruskan pertukaran kumpulan ini dengan lebih telus dan teratur. Ini sangat perlu kerana ia melibatkan data. Dalam sebuah universiti yang mana 90% proses pentadbirannya adalah berasaskan online, data amat penting!