Tuesday, January 19, 2010

MySQL Cluster

Mungkin ada antara pelajar dan pensyarah yang berminat untuk tahu lebih dalam mengenai MySQL Cluster yang digunapakai MyGuru2 sekarang. Saya lampirkan dokumentasi untuk kita kongsi bersama. English ye..kalau tak faham, pandai2 la fahamkan jugak..

MySQL Cluster

Tuesday, January 5, 2010

SELAMAT TAHUN BARU 2010

Team MyGuru2 di UPSI tidaklah seramai mana. Di Pusat ICT hanya ada 2 orang pengaturcara yang menguruskan 18 modul serta 2-3 orang staf dalam unit rangkaian yang mengurus dan menyelenggara server. Tetapi kami tidak pernah merungut kerana tugas membangunkan dan menyelenggara sistem demi kepentingan pelajar dan pensyarah amat kami sukai dan hargai. Falsafah pembangunan MyGuru2 walaupun mungkin tidak secanggih Blackboard atau Moodle yang dikendali pengaturcara antarabangsa yang profesional, adalah mampu memenuni keperluan pelajar dan pensyarah di Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Tahun 2009 menyaksikan banyak pembaharuan yang cuba kami bawa demi kemudahan warga khususnya pelajar UPSI. Penilaian Pembelajaran telah kami bangunkan secara atas talian bagi menggantikan kaedah lama yang menggunakan borang OMR yang menelan belanja RM5,000 satu semester. Sistem ini jika dibangunkan oleh vendor luar, mungkin UPSI perlu memperuntukkan sekurang-kurangnya RM30,000 untuk membelinya. Bayangkan begitulah nilai sebuah sistem yang selalunya dipandang enteng sahaja oleh sesetengah pensyarah dan pelajar. Mengapa? Jika sebelum ini analisis penilaian pembelajaran perlu dibuat oleh 2-3 kakitangan BPAQ yang pastinya memakan masa berminggu-minggu untuk disiapkan kini mampu dijana oleh sistem dalam masa tak sampai 5 minit. Jika difikirkan semula, itulah sebab mengapa harga sistem boleh menjadi setinggi itu DAN kami membangunkannya ikhlas untuk universiti yang tercinta.

Tahun 2009 juga menyaksikan kami telah membangunkan modul untuk memudahkan pensyarah membawa markah dari MyGuru terus ke MySIS tanpa bantuan perisian atau peralatan ketiga. Dengan sekali klik, markah yang dikumpul dari MyGuru boleh dibawa terus ke MySIS sekaligus menjadikannya sebahagian dari markah keseluruhan pelajar. Malangnya, ia belum mendapat sambutan menggalakkan dari pensyarah.

Infrastruktur MyGuru2 juga telah dinaiktaraf dengan pembelian 6 buah server (4 server aplikasi, 2 server pangkalan data) berserta load balancer dan NAS. Lebih membanggakan apabila pangkalan data di UPSI distruktur sebagai MySQL Cluster, teknologi yang dikatakan pertama kali digunakan di Malaysia. Ia berfungsi menjadikan 2 server DB bertindak menyokong antara satu sama lain seterusnya mengecilkan lagi kebarangkalian DB Down untuk MyGuru2.

Modul OBE yang sedang dibangunkan sekarang Insya Allah boleh digunakan oleh pensyarah selewatnya Februari 2010. Modul ini bakal menggantikan About The Course yang berfungsi sebagai ruang muatnaik RI. Ini bermakna selepas ini, tiada lagi istilah 'Pensyarah yang Tidak Upload RI' kerana semua pensyarah pasti mesti memasukkan RI ini melalui kaedah yang lebih sistematik selain memudahkan analisis ke atas SLT, BT, KI dan sebagainya dibuat.

2010, tahun bertambah lagi, yang berkurang adalah usia kita sebenarnya dan yang pasti kita semakin menghampiri mati itu sendiri. Namun dalam kita berusaha menjayakan teknologi untuk manusia, kita harus gigih dan tekun sesuai dengan sabda Rasulullah SAW "Beramallah seolah kamu akan mati esok hari dan Berusahalah (mencari rezeki) seolah kamu hidup 1000 tahun lagi".

Selamat Tahun Baru. Wassalam.