Monday, May 23, 2011

Peka dengan gelaran pensyarah anda

Pasukan MyGuru2 mendapati terdapat segelintir pelajar terutamanya dalam Program Pendidikan Jarak Jauh (PJJ) tidak memanggil pensyarah mereka dengan gelaran yang tepat. Contohnya pensyarah tersebut mungkin bergelar Dr, Profesor, Datuk malah Tan Sri sekalipun, tetapi pelajar dengan mudah memanggilnya dengan gelaran Encik, Puan dan sebagainya.

Benar, gelaran bukanlah aspek terpenting dalam menilai tahap ilmu dan hatibudi seseorang, malah pensyarah sendiri pun tidak begitu kisah tidak dipanggil dengan gelaran sedemikian. Tetapi sebagai pelajar yang baik, seharusnya kita lebih maklum tentang perkara tersebut. Tambahan lagi, gelaran tersebut adalah pengiktirafan atas sumbangan dan kerja keras pensyarah tadi.

Bagaimana nak tahu gelaran pensyarah anda? Pada MyGuru2, klik kursus. Pada Course Tools (Alatan Kursus), klik Staff Info (Maklumat Staf). Nama-nama pensyarah yang dipaparkan adalah disekalikan dengan gelaran mereka seperti Dr, Prof, Tan Sri dan sebagainya.

Semoga dengan penghormatan tersebut, anda juga akan memperolehi gelaran yang sama suatu hari nanti.

Sunday, May 15, 2011

Selamat Hari Guru

Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulang ilmu
Panggilan keramat “cikgu” kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

Wednesday, May 11, 2011

PRIVATE MESSAGE

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera

Pasukan MyGuru2 Pusat ICT sejak awal lagi telah membuka modul Private Message (PM) dalam kumpulan masing-masing. Peranan PM adalah untuk membolehkan pelajar dan pensyarah menghantar mesej secara peribadi antara satu sama lain dalam satu kumpulan. Hal ini secara tidak langsung akan memudahkan komunikasi 2 hala antara pensyarah dengan pelajar.

Perlu diingatkan, PM tidak akan menggantikan peranan e-mel. Oleh yang demikian, PM hanya membenarkan penghantaran mesej teks yang ringkas dan mudah sahaja (seperti SMS), dan tidak akan menyokong elemen-elemen lain seperti imej, video dan sebagainya. Untuk menghantar elemen-elemen lain yang dinyatakan, penggunaan e-mel adalah dicadangkan.

Pada laman utama MyGuru2, pensyarah dan pelajar boleh melihat bilangan PM terkini yang belum dibuka untuk setiap kumpulan pada Private Message (bahagian MyCourse and Quick Links). Pada Course Tools juga ada dinyatakan peringatan (alert) bagi mesej yang belum dibuka.

Dalam ciri terkini yang disediakan, private message akan dijana oleh sistem secara automatik kepada pelajar yang latihannya ditolak oleh pensyarah dalam modul Assignment MyGuru2. Pensyarah hanya perlu memasukkan sebab (reason) penolakkan assignment tersebut.

Untuk cadangan lain / penambahbaikan, sila e-mel terus ke wiraputra@ict.upsi.edu.my

Selamat Mengaplikasikan E-Pembelajaran

Sekian

Monday, May 2, 2011

Pentadbir Blog MyGuru2

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera

Lama rasanya tak menulis dalam muka blog ni. Bukan apa, tugas sebagai Pegawai dalam Teknologi Maklumat memang amat sibuk, mungkin sama sibuknya dengan guru itu sendiri. Kadang-kala kita kena membuat 4 atau 5 kerja sekaligus, mengaturcara, menulis dokumen, terlibat dengan pengkomersilan, latihan kepada pensyarah dan melayan pertanyaan pelajar. Itu belum masuk tugasan di luar tugas hakiki kita lagi.

Bukan nak mengeluh, tapi kesian juga ke blog ni jarang dapat dikemaskini. Saya ingat saya nak lantik la 2 atau 3 orang pelajar UPSI terutamanya PJJ untuk menulis artikel dan mengemaskini blog ini. Ada yang berminat tak? Mungkin saudara/i sekalian lebih memahami hari nurani pelajar itu sendiri. Bak saranan Pak Najib, "zaman kerajaan tahu semua telah berakhir". Saya rasa sama juga di UPSI, "zaman pensyarah/pentadbir tahu semua tentang pelajar telah berakhir". Pelajar sendiri yang perlu bangun menyuarakan kehendak mereka demi kecemerlangan di UPSI serta di luar sana.

Jika ada yang berminat, boleh emel saya ye. Tapi maaf kata, kerja amal ye.:-)