Monday, July 30, 2012

BENGKEL PROJEK RINTIS PENANDA ARAS E-PEMBELAJARAN IPTA MALAYSIA

Majlis Ketua-ketua Penyelaras e-Pembelajaran IPTA Malaysia (MEIPTA) dengan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (KPTM) serta Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menganjurkan Bengkel Projek Rintis Penanda Aras e-Pembelajaran IPTA pada 5 dan 6 Julai 2012 di Hotel Grand Season Kuala Lumpur. Projek ini adalah yang julung kali diadakan bertujuan menetapkan penanda aras dalam penggunaan dan tadbir urus e-Pembelajaran bagi semua IPTA, IPTS, politeknik dan kolej komuniti di seluruh Malaysia.

Bengkel ini memberi peluang kepada ketua-ketua penyelaras ICT dan e-Pembelajaran setiap IPTA berkongsi pandangan dan pengetahuan berkaitan pelaksanaan e-Pembelajaran di samping membuat penilaian kendiri terhadap institusi masing-masing dalam usaha memantapkan kualiti pembelajaran dan pengajaran (P & P).

Terdapat lapan penanda aras yang ditetapkan bagi teknologi P & P untuk dinilai oleh setiap institusi iaitu polisi institusi, perancangan dan penambahbaikan kualiti bagi integrasi teknologi, infrastruktur ICT, aplikasi berkaitan pedagogi, pembangunan staf / profesional, sokongan staf, latihan kepada pelajar dan sokongan kepada pelajar bagi mengaplikasi teknologi.

Penanda aras yang dibina adalah berasaskan kepada model yang ditetapkan oleh Australasian Council on Open, Distance and E-Learning (ACODE) iaitu sebuah organisasi bagi universiti-universiti yang terlibat atau berminat dalam pendidikan terbuka, jarak jauh, fleksibel dan berorientasikan e-pembelajaran.
Bengkel yang disertai oleh 20 IPTA, politeknik serta Asia E-University (AEU) ini telah dirasmikan oleh Y.Bhg. Prof. Dr. Shahrin bin Sahib @ Sahibuddin, Pengarah Bahagian Pengurusan Pembangunan Akademik yang mewakili Ketua Pengarah, Jabatan Pengajian Tinggi, KPTM.

Perwakilan membincangkan penanda aras IPTA mereka

Prof Amin berbincang dengan pasukan. Turur

Prof Dato Dr Zakaria menyampaikan cenderamata

Seriusnya..

PNIBP dan Mesyuarat MEIPTA