Saturday, September 3, 2011

Diserang lagi..

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera

Semalam saya lihat ada lagi surat pelajar yang menyerang UPSI, kali ini datangnya dari pelajar PPG PJJ. Surat tersebut menzahirkan ketidakpuasan hati pelajar berkenaan kerana program PJJ dikatakan bercelaru dan tidak diurus dengan baik.

Sebagai pentadbir di UPSI tentunya kami agak terasa dengan 'pujian' sedemikian. Apa yang boleh dikatakan adalah program sebegini adalah pertama kali diadakan dan pastinya akan terdapat kelemahan di sana sini. Sedang UMS yang hanya mengurus 800 pelajar PJJ pun kelam kabut, inikan pula UPSI yang perlu mengkoordinasi 6800 pelajar dari 14 negeri.

Kualiti UPSI dalam mengeluarkan guru-guru berkualiti tidak boleh dipersoalkan kerana kami memang berpengalaman luas dalam bidang itu. Tetapi PJJ adalah kes berlainan kerana ini adalah pendekatan  baru. Cara pengajaran dan pembelajaran jauh berbeza dan cabaran utama kami adalah bagaimana memastikan pelajar PJJ mendapat ilmu pengetahuan yang setara dengan pelajar sepenuh masa.

Tindakan pelajar berkenaan yang menghantar surat menyerang UPSI di dada akhbar ibarat marahkan nyamuk, kelambu dibakar, dan nyata tidak menguntungkan sesiapa. UPSI mendapat nama buruk dan pelajar juga akan memikul nama varsiti yang sama.

UPSI telah mewujudkan Pusat Pendidikan Luar (PPL) untuk menguruskan hal PJJ dan seharusnya pelajar membuat aduan atau mendapatkan nasihat di saluran ini.

Pastinya pelajar yang menghantar tugasan dengan betul akan mendapat markah yang lebih tinggi dari yang tidak menghantar tugasan atau silap menghantar tugasan. Sebab itu komunikasi dengan pensyarah amat penting untuk memastikan  tiada salah faham berlaku.

Apapun, kepada lain-lain pelajar selain dari yang menghantar surat, UPSI telah mencuba yang terbaik bukan sahaja memastikan anda berjaya mendapat segulung ijazah, tetapi ilmu yang semantap dan secukupnya untuk bergelar guru siswazah yang cemerlang.


Wednesday, July 27, 2011

Kumpulan anda adalah .....

Assalamualaikum dan Salam sejahtera

Semoga sihat hendaknya.

Baru-baru ini pensyarah PJJ dalam proses memberikan markah kepada pelajar PJJ yang terus tekun mengikuti kuliah dan perkembangan kursus mereka walaupun secara jarak jauh. Insya Allah kami harap segala kelemahan dan kekurangan pihak UPSI dalam menyelaras program ini dapat diatasi sepenuhnya pada semester akan datang.

Di tengah-tengah proses pemberian markah tersebut, saya didatangi lebih kurang 5 emel dari 5 orang pelajar yang menyatakan mereka berada di kumpulan lain tetapi didaftarkan di kumpulan lain. Contohnya pelajar dari Kedah ini menyatakan dia pada asalnya kumpulan A04, kemudian bertukar K01, tetapi sekarang kembali ke A04.

Apabila ditanya adakah beliau memaklumkan kepada PPL atau Akademik mengenai pertukaran tersebut, pelajar tersebut menyatakan "Tidak". Saya tanya kembali, apa yang menyebabkan kamu menyatakan telah berubah kumpulan. Pelajar tersebut menjawab "Saya telah beritahu pensyarah dan tukar sendiri dalam MyGuru2."

Menepuk dahi saya sebentar.

Sebenarnya ciri yang terdapat dalam MyGuru2 iaitu Group Tools tidak boleh digunakan oleh pelajar untuk menukar kumpulan secara manual. Ciri tersebut ada dalam MyGuru2 hanya untuk kegunaan pelajar lain secara terbuka boleh menukar kumpulan, dan UPSI tidak membolehkan semua ini disebabkan proses penetapan dan penukaran kumpulan hanya ditentukan oleh PPL, fakulti dan Bahagian Akademik.

Menyedari ada sebilangan pelajar yang telah berbuat demikian (menukar kumpulan dalam MyGuru2), saya telah men'disable' group tool tersebut. Selepas itulah saya menerima beberapa panggilan pelajar yang merayu untuk saya memindahkan forum dan assignment mereka kepada kumpulan yang asal. Saya terima dan memaklumkan kepada pensyarah yang berkenaan. Tetapi agak masalah lah sedikit lantaran assignment dan forum antara 2 pensyarah tidak semestinya sama.

Untuk semua pelajar terutamanya PJJ, anda boleh menukar kumpulan, bukan tidak boleh. Saya faham ada pelajar yang 'ter'masuk ke kumpulan pelajar Sarawak sedangkan dia berasal dari Kedah dan sebagainya. Syaratnya sila mohon terlebih dahulu dengan PPL atau Bahagian Akademik, dan mereka akan menguruskan pertukaran kumpulan ini dengan lebih telus dan teratur. Ini sangat perlu kerana ia melibatkan data. Dalam sebuah universiti yang mana 90% proses pentadbirannya adalah berasaskan online, data amat penting!

Monday, May 23, 2011

Peka dengan gelaran pensyarah anda

Pasukan MyGuru2 mendapati terdapat segelintir pelajar terutamanya dalam Program Pendidikan Jarak Jauh (PJJ) tidak memanggil pensyarah mereka dengan gelaran yang tepat. Contohnya pensyarah tersebut mungkin bergelar Dr, Profesor, Datuk malah Tan Sri sekalipun, tetapi pelajar dengan mudah memanggilnya dengan gelaran Encik, Puan dan sebagainya.

Benar, gelaran bukanlah aspek terpenting dalam menilai tahap ilmu dan hatibudi seseorang, malah pensyarah sendiri pun tidak begitu kisah tidak dipanggil dengan gelaran sedemikian. Tetapi sebagai pelajar yang baik, seharusnya kita lebih maklum tentang perkara tersebut. Tambahan lagi, gelaran tersebut adalah pengiktirafan atas sumbangan dan kerja keras pensyarah tadi.

Bagaimana nak tahu gelaran pensyarah anda? Pada MyGuru2, klik kursus. Pada Course Tools (Alatan Kursus), klik Staff Info (Maklumat Staf). Nama-nama pensyarah yang dipaparkan adalah disekalikan dengan gelaran mereka seperti Dr, Prof, Tan Sri dan sebagainya.

Semoga dengan penghormatan tersebut, anda juga akan memperolehi gelaran yang sama suatu hari nanti.

Sunday, May 15, 2011

Selamat Hari Guru

Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulang ilmu
Panggilan keramat “cikgu” kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

Wednesday, May 11, 2011

PRIVATE MESSAGE

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera

Pasukan MyGuru2 Pusat ICT sejak awal lagi telah membuka modul Private Message (PM) dalam kumpulan masing-masing. Peranan PM adalah untuk membolehkan pelajar dan pensyarah menghantar mesej secara peribadi antara satu sama lain dalam satu kumpulan. Hal ini secara tidak langsung akan memudahkan komunikasi 2 hala antara pensyarah dengan pelajar.

Perlu diingatkan, PM tidak akan menggantikan peranan e-mel. Oleh yang demikian, PM hanya membenarkan penghantaran mesej teks yang ringkas dan mudah sahaja (seperti SMS), dan tidak akan menyokong elemen-elemen lain seperti imej, video dan sebagainya. Untuk menghantar elemen-elemen lain yang dinyatakan, penggunaan e-mel adalah dicadangkan.

Pada laman utama MyGuru2, pensyarah dan pelajar boleh melihat bilangan PM terkini yang belum dibuka untuk setiap kumpulan pada Private Message (bahagian MyCourse and Quick Links). Pada Course Tools juga ada dinyatakan peringatan (alert) bagi mesej yang belum dibuka.

Dalam ciri terkini yang disediakan, private message akan dijana oleh sistem secara automatik kepada pelajar yang latihannya ditolak oleh pensyarah dalam modul Assignment MyGuru2. Pensyarah hanya perlu memasukkan sebab (reason) penolakkan assignment tersebut.

Untuk cadangan lain / penambahbaikan, sila e-mel terus ke wiraputra@ict.upsi.edu.my

Selamat Mengaplikasikan E-Pembelajaran

Sekian

Monday, May 2, 2011

Pentadbir Blog MyGuru2

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera

Lama rasanya tak menulis dalam muka blog ni. Bukan apa, tugas sebagai Pegawai dalam Teknologi Maklumat memang amat sibuk, mungkin sama sibuknya dengan guru itu sendiri. Kadang-kala kita kena membuat 4 atau 5 kerja sekaligus, mengaturcara, menulis dokumen, terlibat dengan pengkomersilan, latihan kepada pensyarah dan melayan pertanyaan pelajar. Itu belum masuk tugasan di luar tugas hakiki kita lagi.

Bukan nak mengeluh, tapi kesian juga ke blog ni jarang dapat dikemaskini. Saya ingat saya nak lantik la 2 atau 3 orang pelajar UPSI terutamanya PJJ untuk menulis artikel dan mengemaskini blog ini. Ada yang berminat tak? Mungkin saudara/i sekalian lebih memahami hari nurani pelajar itu sendiri. Bak saranan Pak Najib, "zaman kerajaan tahu semua telah berakhir". Saya rasa sama juga di UPSI, "zaman pensyarah/pentadbir tahu semua tentang pelajar telah berakhir". Pelajar sendiri yang perlu bangun menyuarakan kehendak mereka demi kecemerlangan di UPSI serta di luar sana.

Jika ada yang berminat, boleh emel saya ye. Tapi maaf kata, kerja amal ye.:-)

Saturday, April 2, 2011

Kelas Pertama

Hari ini pelajar program Pendidikan Jarak Jauh (PJJ) memulakan kuliah bersemuka buat pertama kali. Dan bukan selalu mereka akan berhadapan mata ke mata dengan pensyarah dalam satu semester. Jika tak silap, mungkin hanya 3 atau 4 kali sahaja

Dalam forum MyGuru2 bermacam pandangan dan perasaan yang dilontarkan. Ada yang enjoy, ada yang letih, tak kurang juga yang teruja kembali ke kerusi kuliah setelah meninggalkan puluhan tahun.

Saya faham ramai juga yang tinggal jauh dari pusat pengajian masing-masing. Ada yang tinggal di JB, kuliah di Batu Pahat, tinggal di Sepang, kuliah di UPSI dan sebagainya. Pihak UPSI dalam proses untuk memperbaiki keadaan ini seberapa segera.

Namun bila menyebut tentang jarak dari rumah ke pusat pengajian, saya pun nak kongsi apa yang sedang saya alami. Saya juga sedang menyambung pengajian di UPM Serdang. Jarak Tg Malim ke UPM adalah 125 km, pergi balik 250 km. Dalam sebulan, saya akan memandu untuk kuliah setiap minggu 1000km!!

1000km sebulan bersamaan RM250 duit minyak + tol dan sebagainya.

Jika diikutkan hati, memang berat dan payah. Tetapi seorang pensyarah mengatakan kepada saya "That is the beauty of learning"

Sebaik kita mula memegang pen untuk menuntut ilmu yang bermanfaat, dari situlah segala cabaran pun bermula. Kerana kecantikan ilmu itu tidak mungkin mampu kita gapai dengan jalan yang mudah. Pastinya memerlukan pengorbanan bukan sahaja duit malah tenaga, masa kepada keluarga dan sebagainya.

Tetapi hasilnya pasti membanggakan, siapa taknak memegang segulung ijazah. Seorang nenek tua pun jika diberi peluang ingin naik ke pentas dan menerima penghormatan tertinggi akademik.

Oleh yang demikian, sentiasalah bersabar atas segala yang dihadapi, tambahan program ini masih muda di UPSI. Pasti banyak kelemahan /lompong di sana sini.